Isteri anggota polis terkejut terima panggilan suami ditikam di Pudu

KUALA LUMPUR: Terkejut dan menggigil, itu reaksi Norfazliana Osman, 35, sebaik menerima panggilan daripada Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM mengenai kecederaan parah suaminya, seorang anggota polis yang ditikam di Pasar Pudu.

“Pukul 1 tengah hari, hospital telefon minta kebenaran untuk pembedahan segera kerana usus suami mungkin perlu dibuang akibat tikaman,“ katanya ketika ditemui di hospital hari ini. Suaminya, Kpl Mohd Nadzri Sudiman, kini stabil tetapi masih lemah dan memerlukan ubat penahan sakit.

Norfazliana, ibu kepada dua anak, mengakui risau walaupun memahami risiko tugas suaminya. “Anak-anak tahu keadaan ayah mereka,“ ujarnya.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menziarahi mangsa hari ini, turut diiringi beberapa pegawai kanan polis.

Kejadian berlaku pada Khamis lalu ketika mangsa menjalankan rondaan cegah jenayah. Suspek lelaki berusia 56 tahun ditahan dan direman sehingga Khamis depan. Kes disiasat bawah Seksyen 307 (cubaan bunuh) dan Seksyen 186 (halang penjawat awam) Kanun Keseksaan, serta Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *