100 kubur di Kampung Pengkalan Maras dipindahkan mulai hari ini

KUALA NERUS: Sebanyak 100 kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pengkalan Maras, Batu Rakit, dipindahkan secara berperingkat mulai hari ini akibat risiko hanyut ekoran hakisan pantai.

Mufti Terengganu Datuk Dr Mohamad Sabri Haron berkata kerja-kerja pemindahan kubur yang kini terlalu hampir dengan pantai telah diluluskan oleh pihaknya. Pelaksanaan diuruskan Pejabat Agama Daerah Kuala Nerus dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Pejabat Daerah Kuala Nerus, serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Pengkalan Maras.

“Tiada masalah untuk mengalihkan kubur-kubur yang berisiko, kerana ia akan membawa masalah yang lebih besar sekiranya tidak dipindahkan,“ katanya kepada Bernama.

Kubur-kubur tersebut akan dipindahkan ke Tanah Perkuburan Islam Hajar Kampung Gong Awang Lib, kira-kira dua kilometer dari lokasi asal. Kerja-kerja dijangka disiapkan secepat mungkin sebelum musim tengkujuh.

“Sebolehnya kita buat secepat mungkin sebelum berlaku hakisan lebih teruk pada musim tengkujuh, kerana bimbang ada kubur yang akan hanyut lagi,“ tambah Mohamad Sabri.

Pada November tahun lepas, lima jenazah termasuk tiga yang masih berbalut kain kafan terpaksa dikebumikan semula selepas dihanyutkan ombak.

Norhayati Sulaiman, 51, mengucapkan syukur kerana kubur ayahnya, Allahyarham Sulaiman Jusoh, akhirnya dipindahkan ke lokasi lebih selamat. “Sejak setahun dua ini, walaupun bukan musim tengkujuh, muka saya terkena percikan air pantai setiap kali melawat kubur arwah ayah,“ katanya.

Laila Othman, 57, pula merasakan pemindahan kubur suaminya sebagai satu kelegaan. “Alhamdulillah hari ini seolah-olah Allah S.W.T memberi keizinan untuk ‘jumpa’ semula arwah suami,“ ujarnya.

Setakat tengah hari tadi, lima jenazah telah berjaya dikeluarkan untuk dipindahkan ke tanah perkuburan baharu. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *