KUCHING: Trend jenayah penipuan atau scammer di Sarawak menunjukkan peningkatan membimbangkan, menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata.
Dari 1 Januari hingga 30 Julai tahun ini, sebanyak 2,256 kertas siasatan jenayah komersial dibuka berbanding 1,398 kes dalam tempoh sama tahun lepas. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 858 kes.
“Peningkatan jumlah kes turut melibatkan nilai kerugian yang meningkat. Dari 1 Jan hingga 30 Julai tahun ini, nilai kerugian mangsa penipuan di Sarawak mencecah RM77.7 juta, peningkatan sebanyak RM24.8 juta berbanding RM52.9 juta bagi tempoh sama pada 2024,“ kata Mancha dalam kenyataan.
Beliau memberi amaran bahawa jika trend ini berterusan, jumlah kerugian dijangka melepasi RM100 juta bagi tahun 2025.
Majoriti mangsa penipuan terdiri daripada golongan berumur 30 hingga 40 tahun. “Kebanyakan mangsa terdiri daripada pekerja swasta, penjawat awam, pesara dan selebihnya pelajar serta golongan yang bekerja sendiri,“ jelasnya.
Modus operandi penjenayah juga semakin licik, menggunakan taktik seperti scam jual beli dalam talian, pelaburan palsu, pinjaman wang tidak wujud, dan tawaran pekerjaan palsu. – Bernama