KUALA LUMPUR: Produk halal yang diimport dari Amerika Syarikat (AS) masih perlu mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau menegaskan bahawa Malaysia tidak akan berkompromi dalam soal standard halal walaupun terdapat kemudahan dalam proses import. “Perkara yang telah kita persetujui dengan AS adalah bagi memedahkan proses mengimport produk halal ke Malaysia, tetapi tidak berkompromi dengan piawaian halal,“ jelasnya dalam sidang media hari ini.
Kenyataan ini dibuat susulan pengumuman AS mengenai pengurangan kadar tarif ke atas eksport Malaysia kepada 19 peratus berbanding 25 peratus sebelum ini. Tengku Zafrul menafikan dakwaan bahawa Malaysia mengurangkan ketegasan dalam keperluan halal.
“Kerajaan tidak akan berubah daripada pendirian kami dalam isu ini. Oleh itu, kami berharap tiada pihak yang memberikan tanggapan yang mengelirukan,“ tegasnya. – Bernama