Suspek tikam anggota polis positif dadah miliki 14 rekod jenayah

KUALA LUMPUR: Suspek lelaki yang menikam seorang anggota polis semasa rondaan cegah jenayah di Pasar Pudu, Jalan Yew, disahkan positif dadah jenis heroin. Selain itu, beliau juga memiliki 14 rekod jenayah lampau termasuk kesalahan berkaitan dadah.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, saringan awal air kencing menunjukkan suspek berada di bawah pengaruh dadah. Bahan terlarang turut ditemui dalam milikannya semasa tangkapan dilakukan.

“Semakan mendapati individu itu memiliki 14 rekod jenayah lampau termasuk berkaitan dengan dadah dan jenayah,“ katanya.

Suspek kini direman tujuh hari sehingga Khamis depan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 307 dan 186 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh serta menghalang penjawat awam menjalankan tugas. Kes ini turut disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kejadian berlaku semalam apabila seorang anggota polis cedera parah ditikam di bahagian perut oleh suspek ketika menjalankan rondaan bersama empat anggota lain. Keadaan mangsa dilaporkan stabil tetapi masih dalam pemantauan rapi. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *