KUALA LUMPUR: Strategi jangka pendek dan panjang bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Jalan Bangsar, di sini dirangka melalui perbincangan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta wakil pemaju di bangunan Parlimen, semalam.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Fahmi berkata Bangsar merupakan kawasan yang sedang membangun dengan begitu pesat, maka setiap projek baharu mesti dirancang secara teliti agar manfaatnya dirasai rakyat selain memastikan kesejahteraan penduduk setempat dipelihara.
“Dengan komitmen padu daripada semua pihak, kita boleh mencari penyelesaian yang bukan sahaja berkesan untuk mengurangkan kesesakan, tetapi juga mengekalkan Bangsar sebagai kawasan tersusun, selesa dan kondusif untuk didiami,” katanya yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai. – Bernama