Pupuk minat STEM dan AI untuk ekonomi bernilai tinggi di Malaysia

KUALA LUMPUR: Pendidikan berteraskan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dengan menumpukan kepada pembelajaran berasaskan aplikasi merupakan komponen penting dalam usaha membina ekonomi bernilai tambah tinggi.

Ahli-ahli ekonomi berkata strategi yang menfokuskan kepada kedua-dua bidang itu adalah sangat penting memandangkan minat terhadap STEM yang semakin merosot manakala Malaysia masih ketinggalan dalam bidang AI walaupun terdapat retorik yang sebaliknya.

Menggalakkan pelajar mengembangkan minat dalam bidang STEM adalah penting untuk meningkatkan aktiviti ekonomi bernilai tambah tinggi dan mencapai matlamat yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Beliau berkata langkah-langkah sedemikian adalah sangat kritikal, terutamanya ketika minat dalam kalangan pelajar untuk bidang-bidang itu semakin merosot.

“Jadi, cabarannya ialah bagaimana kita boleh mengembalikan minat dalam kalangan pelajar terhadap mata pelajaran STEM untuk mencapai aspirasi ini.

“Ini lebih-lebih lagi apabila melibatkan banyak bidang berteknologi tinggi dan pertumbuhan tinggi yang memerlukan banyak asas teknologi dan boleh dikatakan berpaksikan matematik,“ katanya dalam program Bernama TV “The Nation” bertajuk “RMK13: Charting Malaysia’s Economic Future,” yang dihoskan oleh Jessy Chahal semalam.

Sementara itu, Pengarah dan Ketua Pegawai Komersial EPS Consultants Matthew Barsing berkata RMK13 mengakui kelemahan negara dalam kesiapsiagaan AI dan memberi penekanan yang lebih kuat kepada usaha merapatkan jurang kemahiran melalui pendidikan praktikal dan peningkatan kemahiran.

Beliau berkata Malaysia perlu bergerak melangkaui pendedahan AI secara teori dan memberi tumpuan kepada pembelajaran berasaskan aplikasi merentas sektor.

“Saya bernasib baik kerana menjadi sebahagian daripada Kumpulan Kerja Bakat AI di bawah Pejabat AI Kebangsaan (NAIO), di mana sepanjang empat bulan lepas kami telah membangunkan rangka kerja untuk penggunaan AI merentas pelbagai sektor, daripada kerajaan hinggalah kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Terdapat jurang yang besar di Malaysia dan cabaran utama sekarang adalah seberapa cepat kita boleh menyesuaikan diri dengan teknologi baru muncul dan perkembangan terkini dalam AI,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan RMK13 di Parlimen semalam berkata penekanan akan diberikan kepada penggunaan inovasi teknologi tempatan untuk memacu pertumbuhan ekonomi melalui pembangunan aset digital strategik seperti AI, analitik data dan sistem digital kerajaan, bersama-sama dengan pengukuhan aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (RPKI) di bawah pendekatan “Buatan Malaysia”. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *