KUANTAN: Program Santuni MADANI anjuran Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Kampung Sungai Ular berjaya menjadi platform penting untuk meningkatkan kesedaran keselamatan maritim dalam kalangan nelayan tempatan.
Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah, berkata inisiatif ini membolehkan pihaknya berinteraksi secara langsung dengan komuniti nelayan bagi mendidik mereka tentang langkah keselamatan di laut.
“Kampung Sungai Ular dipilih kerana ia antara lokasi tumpuan nelayan pantai dan berdekatan dengan pejabat APMM Pahang. Komuniti ini juga berperanan sebagai ‘mata dan telinga’ kami dalam menyampaikan maklumat serta aduan di peringkat akar umbi,“ katanya.
Beliau menasihati nelayan supaya sentiasa peka dengan ramalan cuaca dan memakai jaket keselamatan serta menggunakan Personal Locator Beacon (PLB) ketika ke laut.
Program Santuni MADANI dan Sahabat Maritim di Dataran Pantai Kampung Sungai Ular turut disertai Pengarah APMM Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab. Pelbagai aktiviti diadakan termasuk Jualan Rahmah MADANI, sukan rakyat, pertandingan memancing, dan pameran agensi kerajaan.
Mohd Rosli berkata APMM akan terus melaksanakan program serupa di Kedah, Perak, Melaka, dan Sabah bagi memupuk kesedaran keselamatan maritim secara meluas. – Bernama