MELAKA: Sepasang kekasih didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis heroin seberat 15.06 gram, bulan lepas.
Ahmad Ramdzan Mohamed, 26, dan Farah Amira Mohamad Ali, 28, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes mengedar dadah berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pasangan itu didakwa mengedar dadah disyaki jenis heroin dengan berat kasar 15.06 gram di tepi jalan simpang Jalan Teruna 1, Taman Bukit Rambai dalam daerah Melaka Tengah kira-kira 6 petang pada 22 Julai lepas.
Pendakwaan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Kedua-dua tertuduh berdepan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 kali sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Zaidi Tahir memaklumkan mahkamah laporan kimia masih belum diperoleh dan tidak menawarkan sebarang jaminan, manakala pasangan itu tidak diwakili peguam.
Dalam prosiding sama, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah kerana menghalang tugas penjawat awam, iaitu dua anggota polis lelaki daripada menjalankan tugas hakiki dengan cara melarikan diri semasa pemeriksaan dijalankan.
Kesalahan berkenaan dilakukan kira-kira 6.02 petang di Blok C Pangsapuri Anika, Lorong Pandan Melaka dalam daerah Melaka Tengah pada tarikh yang sama.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda hingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, Ahmad Ramdzan turut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang anggota polis lelaki semasa melaksanakan tugasnya sebagai penjawat awam di Jalan Teruna 1 Bukit Rambai dalam daerah Melaka Tengah pada tarikh sama.
Tertuduh yang juga penganggur didakwa di bawah Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, bagaimanapun dia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 9 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – Bernama