Kematian pegawai kadet PALAPES UTM: Polis sahkan tiada jenayah

JOHOR BAHRU: Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kematian seorang pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Pusat Latihan Darat (PULADA), Ulu Tiram.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Yusof Othman berkata bedah siasat mendapati tiada kecederaan berunsur jenayah pada mangsa berusia 22 tahun itu. Punca kematian masih menunggu keputusan makmal.

Polis menerima laporan insiden pada 5.33 petang, 28 Julai lalu. Siasatan awal mendapati mangsa tiba-tiba meracau dan hilang kawalan semasa latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, PULADA, sekitar 2.30 petang hari sama.

“Mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi oleh pegawai perubatan Rejimen Semboyan Angkatan Tentera (RSAT) tetapi disahkan meninggal dunia di zon kecemasan,“ jelas Yusof.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru untuk tindakan lanjut. Kes ini diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR).

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan seorang wanita membuat laporan polis selepas jenazah anaknya, Syamsul Haris Shamsudin, ditemui dengan kesan lebam teruk.

Yusof menegaskan siasatan menyeluruh sedang dijalankan, termasuk rakaman percakapan saksi dan pegawai perubatan terlibat. Beliau menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi.

UTM dalam kenyataan berasingan menyatakan kesedihan mendalam atas pemergian Syamsul Haris dan bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

“Universiti telah menghubungi waris Allahyarham dan sedia memberikan bantuan serta sokongan. Kami komited memastikan keselamatan pelajar diutamakan,“ menurut UTM. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *