MELAKA: Seorang bekas pengarah bersama syarikatnya didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas kegagalan melunaskan bayaran cukai perkhidmatan dan penalti berjumlah RM139,755.25 bagi tempoh 2021 hingga 2023.
Hakim Haderiah Siri menjatuhkan hukuman itu selepas Ng Wen Hua, 31, dan syarikat Go Lounge Sdn Bhd mengaku bersalah atas lima pertuduhan. Mahkamah turut mengarahkan hukuman penjara sebulan bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda.
Menurut pertuduhan, Ng dan syarikatnya didapati gagal membayar cukai perkhidmatan yang telah genap tempoh pembayaran bagi lima tempoh berbeza, bermula dari November 2021 hingga Oktober 2023. Jumlah tunggakan cukai perkhidmatan yang tidak dilunaskan adalah antara RM19,000 hingga RM30,000 bagi setiap tempoh, manakala penalti yang dikenakan pula antara RM3,000 hingga RM12,000.
Kesalahan itu dilakukan di premis Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Wisma Kastam Negeri, Ayer Keroh pada beberapa tarikh berbeza antara 2022 dan 2023.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 26(8) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 dibaca bersama Seksyen 78(1)(a) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa JKDM Mohammad Azhar Habib memohon mahkamah mengenakan denda RM5,000 bagi setiap pertuduhan atas alasan tertuduh mempunyai rekod ketidakpatuhan cukai dan kesalahan ini menyebabkan ketirisan hasil negara.
Bagaimanapun, Ng yang tidak diwakili peguam merayu agar mahkamah mengenakan denda minimum memandangkan perniagaan terbabit sudah tidak lagi beroperasi. – Bernama