KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif yang lebih rendah sebanyak 19 peratus ke atas import Malaysia, berkuat kuasa 1 Ogos, 2025.
Pada 7 Julai, Washington mengumumkan AS akan mengenakan tarif 25 peratus ke atas semua produk Malaysia yang dihantar ke negara itu, berasingan daripada semua tarif sektor, berkuat kuasa 1 Ogos tahun ini, dan angka itu merupakan satu peratus lebih tinggi berbanding dengan tarif yang telah diumumkan pada April.
Bagaimanapun, tiada tarif akan dikenakan sekiranya Malaysia, atau syarikat Malaysia, memutuskan untuk membangunkan atau menghasilkan produk di AS.
Malaysia telah berunding dengan Washington mengenai tarif sejak April, dengan matlamat untuk mengurangkan tarif 24 peratus yang dikenakan sebelum ini, dengan rundingan terkini telah diadakan pada 18 Jun lepas.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, mengumumkan beliau telah mengadakan perbualan telefon dengan Presiden AS Donald Trump pada 6.50 pagi untuk membincangkan isu tarif berlandaskan semangat dan prinsip perdagangan bebas.
Anwar berkata perbualan itu turut menyentuh siri rundingan yang sedang berlangsung antara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama Wakil Perdagangan AS dan Setiausaha Perdagangan AS- BERNAMA