KUALA LUMPUR: Sepuluh anggota polis yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Pahang dan Johor bakal berdepan tindakan tatatertib, menurut Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Hamzah Ahmad.
Beliau berkata siasatan dalaman sudah dilaksanakan, termasuk kemungkinan mengenakan tindakan tahan kerja terhadap anggota terbabit. “Kes ini membabitkan penahanan anggota polis di Pahang dan Johor dan diserahkan sepenuhnya kepada SPRM. Pihak JIPS akan terus memberi kerjasama sepanjang siasatan dijalankan,“ katanya.
Hamzah menambah bahawa pihaknya akan menunggu proses siasatan sehingga anggota terbabit didakwa di mahkamah dan dijatuhkan hukuman sebelum mengambil langkah seterusnya. Beliau menegaskan bahawa tindakan dalaman oleh JIPS tetap akan diambil mengikut prosedur sedia ada.
Sebelum ini, media melaporkan enam anggota polis direman hingga 6 Ogos bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah kira-kira RM12,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap kesalahan memiliki air ketum di Temerloh, Pahang.
Selain itu, empat anggota polis lain ditahan SPRM Johor kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM635,000 daripada seorang individu sebagai balasan tidak mengambil tindakan atas kesalahan aktiviti perjudian. – Bernama