KUALA LUMPUR: Kerajaan telah menggariskan empat strategi utama bagi meningkatkan kecekapan infrastruktur dan menggalakkan peralihan kepada pengangkutan awam sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
Menurut dokumen RMK13 yang dikeluarkan oleh Kementerian Ekonomi, empat strategi tersebut merangkumi aspek kewangan operator, pembangunan berorientasikan transit (TOD), pelaburan infrastruktur, serta penstrukturan semula tadbir urus dan operasi rel.
Bagi mencapai sasaran 40 peratus perkongsian mod menjelang 2030, dokumen itu menyatakan bahawa mekanisme semakan bagi penetapan kadar tambang pengangkutan awam yang bersesuaian akan dikenal pasti berdasarkan kajian Pelan Strategik Pengangkutan Awam Lembah Klang.
“Pengenalan tarif khas elektrik bagi sektor pengangkutan awam juga akan diteroka untuk membantu mengurangkan kos operasi, khususnya bagi pengangkutan rel,“ menurut dokumen tersebut.
Pelaksanaan pembangunan TOD akan dipercepat melalui kerjasama strategik antara operator dan pihak swasta di lokasi berpotensi seperti Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan.
Antara projek TOD yang akan dilaksanakan termasuk di laluan LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Projek LRT3 dengan rangkaian rel sepanjang 37 kilometer, pengoperasian ECRL, dan Rapid Transit System (RTS) Link yang dijangka siap dalam tempoh RMK13 juga akan meningkatkan pengintegrasian jaringan pengangkutan awam.
“Bilangan tren penumpang akan ditambah melalui kaedah pajakan bagi mengoptimumkan penggunaan kapasiti landasan rel dan melancarkan mobiliti rakyat,“ menurut dokumen itu.
Kerajaan turut memberi penekanan kepada peningkatan ketersambungan “first mile” dan “last mile” serta penyediaan perkhidmatan bas yang lebih kerap dan konsisten di bandar utama, khususnya semasa waktu puncak.
“Kemudahan di stesen dan kawasan parkir juga akan dipertingkatkan dengan elemen mesra pejalan kaki dan berkonsepkan hab gaya hidup,“ menurut dokumen tersebut.
Kerajaan juga akan menstruktur semula tadbir urus sektor pengangkutan rel dengan memisahkan fungsi pemilikan aset dan operasi antara agensi berkaitan seperti Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Menyentuh pencapaian dalam tempoh RMK12, dokumen itu menyatakan bahawa jumlah penumpang pengangkutan awam di ibu negara dan Lembah Klang mencatatkan purata pertumbuhan sebanyak 18.6 peratus setahun bagi tempoh 2021 hingga 2024.
Perkongsian mod pengangkutan awam di Lembah Klang sehingga tahun 2024 telah mencapai 25.9 peratus, dengan sasaran untuk meningkat kepada 40 peratus menjelang tahun 2030 menerusi RMK13. – Bernama