PASIR MAS: Reman terhadap seorang lelaki berusia 24 tahun yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan wanita hamil tujuh bulan di Kampung Teresek, Repek pada 2021, dilanjutkan tujuh hari lagi. Perintah sambung reman dikeluarkan oleh Majistret Syed Farid Syed Ali di Mahkamah Majistret Pasir Mas hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Suspek yang berpakaian lokap berwarna ungu tiba di mahkamah pada 8.42 pagi dengan menaiki van polis. Kes ini mendapat perhatian ramai selepas media melaporkan lelaki tersebut diburu polis berhubung kematian Farrah Emirah Mazlan, 26, yang sedang hamil tujuh bulan.
Mangsa yang juga ibu kepada tiga anak berusia antara tiga hingga 10 tahun, ditemui mati dengan kesan tembakan pada perut dalam sebuah kereta jenis Nissan Cefiro pada 2021. Suspek akhirnya diberkas pihak berkuasa pada 23 Julai lepas, tiga tahun selepas insiden tragis tersebut. – Bernama