JOHOR BAHRU: Seorang pengamal perubatan berusia 53 tahun menjadi mangsa penipuan pelaburan saham dalam talian, mengakibatkan kerugian sebanyak RM8.7 juta. Menurut
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Supt Azrul Hisham Mohd Shaffei, mangsa terpengaruh dengan iklan pelaburan di media sosial pada April lalu yang menjanjikan pulangan tinggi.
Mangsa kemudian berurusan dengan suspek yang menawarkan keuntungan sehingga 520 peratus daripada jumlah pelaburan. “Dari Mei hingga Julai, mangsa telah memindahkan RM8.7 juta ke beberapa akaun bank seperti diarahkan,“ jelas Azrul Hisham.
Namun, mangsa hanya menerima keuntungan RM6,033 dan diminta membayar tambahan RM500,000 sebagai deposit untuk mengeluarkan wangnya.
“Mangsa turut menerima ugutan bahawa akaunnya akan dibekukan sebelum menyedari penipuan itu,“ tambahnya.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana penipuan. – Bernama