153 disaman tidak pakai tali pinggang keledar dalam bas di Melaka

MELAKA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka mengeluarkan 153 notis saman kepada penumpang dan pemandu bas ekspres serta persiaran kerana tidak memakai tali pinggang keledar dalam tempoh 1 Julai hingga semalam.

Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop, berkata daripada jumlah itu, 18 notis dikeluarkan kepada pemandu bas manakala 135 lagi kepada penumpang. “Pemakaian tali pinggang keledar diwajibkan ke atas semua penumpang dan pemandu bas ekspres serta persiaran bermula 1 Julai lepas. Sehingga kini, kami telah memeriksa 350 kenderaan,“ katanya.

Beliau menjelaskan kesalahan itu dikesan menerusi penyamaran anggota dalam bas serta operasi penguatkuasaan berkala. “Kebanyakan kesalahan berlaku kerana sikap sambil lewa dan kurang kesedaran walaupun telah diingatkan oleh pemandu,“ tambahnya.

Operasi Khas Bersepadu JPJ Melaka di Batu Berendam malam tadi melibatkan lebih 70 anggota penguat kuasa pelbagai agensi. Sebanyak 745 kenderaan diperiksa dengan 197 dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan.

Siti Zarina menegaskan bahawa saman dikeluarkan tanpa kompromi sebagai peringatan kepada pemandu dan penumpang. JPJ juga telah mengadakan sesi libat urus dengan pengusaha bas serta mengedarkan bahan promosi dalam bentuk poster untuk dipamerkan dalam kenderaan.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *