SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong sempena sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Selangor 2025. Turut berangkat Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
Majlis tersebut dipimpin oleh Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir dan dihadiri pegawai serta anggota pasukan keselamatan negeri. Sultan Sharafuddin kemudian menunaikan solat Jumaat selepas mendengar khutbah bertajuk *Pahlawan Sejati*.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah, serta Pemangku Ketua Polis Selangor Mohd Zaini Abu Hassan turut hadir.
Hari Pahlawan disambut pada 31 Julai setiap tahun bagi menghargai jasa anggota keselamatan yang berkorban untuk negara. – Bernama