Majlis Keselamatan PBB bincang ketegangan sempadan Thailand-Kemboja

NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) akan mengadakan mesyuarat tertutup berhubung pertempuran di sempadan Thailand-Kemboja pada Jumaat, lapor Xinhua.

Menurut Majlis Keselamatan, mesyuarat yang dijadualkan pada 3 petang EDT (1900 GMT) Jumaat dilaporkan telah diminta oleh Perdana Menteri Kemboja Hun Manet.

Situasi di sempadan Thailand-Kemboja semakin tegang susulan pertempuran yang tercetus pada pagi Khamis, dengan kedua-dua pihak saling menyalahkan antara satu sama lain kerana melanggar undang-undang antarabangsa.

Menurut timbalan jurucakap Kementerian Kesihatan Awam Thailand, seramai 14 rakyat Thailand terbunuh dan 46 yang lain cedera dalam pertempuran tentera berhampiran sempadan Thailand-Kemboja setakat 9 malam waktu tempatan pada Khamis.

Timbalan gabenor wilayah Oddar Meanchey Kemboja, Met Meas Pheakdey, memberitahu Xinhua melalui panggilan telefon bahawa seorang penduduk terbunuh dan lima yang lain cedera pada Khamis. – Bernama, Xinhua

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *