KOTA BHARU: Tiga premis dikenakan kompaun manakala empat lagi disita selepas gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024. Operasi ini dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan bersama agensi penguat kuasa lain di sekitar Kota Bharu dan Kubang Kerian.
Pemeriksaan tertumpu pada premis perniagaan rokok elektronik atau vape, khusus bagi memastikan pematuhan Akta 852 serta undang-undang berkaitan. “Hampir semua premis runcit yang diperiksa mempamerkan tanda harga dengan jelas dan menggunakan alat timbang yang sah. Namun, tiga premis didapati melanggar peraturan dan dikenakan kompaun,“ menurut kenyataan KPDN.
Operasi ini turut melibatkan Kementerian Kesihatan (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam, Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB-BRI), dan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara.
KKM turut mengambil tindakan terhadap premis yang mempromosikan penjualan vape secara terbuka kepada orang awam. MPKB-BRI menyita pelbagai perisa dan vape di empat premis yang beroperasi tanpa lesen sah. “Pemilik premis diberi amaran untuk mematuhi Akta 852, memaparkan harga dengan jelas, dan tidak beroperasi tanpa lesen,“ kata KPDN. – Bernama