Polis lengkapkan siasatan kes doktor cabul pesakit wanita

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang sedang melengkapkan siasatan berhubung kes seorang doktor lelaki yang ditahan sebanyak empat kali atas dakwaan berkelakuan tidak senonoh dan mencabul pesakit wanita. Arahan ini diberikan oleh pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bagi memastikan siasatan lebih terperinci sebelum kes dibawa ke peringkat seterusnya.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, doktor berusia 43 tahun itu terlibat dalam tiga kes di daerah Timur Laut pada Februari dan Mac lepas, manakala satu lagi kes dilaporkan baru-baru ini di daerah Barat Daya.

“Bagi tiga kes di Timur Laut, polis telah hantar kertas siasatan ke pejabat TPR. Namun, kami baru terima arahan untuk tambah dan lengkapkan lagi siasatan sebelum dihantar semula,“ katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang.

Bagi kes di Barat Daya, siasatan masih berjalan selepas seorang wanita mendakwa doktor tersebut menyuruhnya menanggalkan baju sebelum menyentuh payudaranya semasa rawatan di sebuah klinik swasta. Doktor itu ditahan pada 8 malam Isnin lepas dan direman selama tiga hari sebelum dibebaskan dengan jaminan.

Doktor tersebut sebelum ini bertugas di sebuah hospital kerajaan di Timur Laut sebelum dipindahkan ke klinik kerajaan di Barat Daya selepas ditahan polis. Media sebelum ini melaporkan doktor sama pernah ditahan tiga kali atas dakwaan serupa di hospital dan klinik swasta.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *