PUTRAJAYA: Inisiatif Kesejahteraan Rakyat MADANI (Sejahtera MADANI) adalah agenda nasional untuk membasmi kemiskinan bandar, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata inisiatif itu satu perkembangan positif, namun perlu memastikan adanya tindakan susulan menyeluruh supaya hasilnya dapat dinikmati secara berterusan oleh golongan yang memerlukan.
“Seperti yang sering disebut, kita tidak boleh hanya memberi ikan, tetapi mesti memberi kail supaya rakyat mampu mencari ikan sendiri.
“Dengan erti kata lain, program itu mesti bersifat jangka panjang dan disertai pemantauan bersama oleh sektor swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta badan-badan lain. Ini satu pendekatan yang baik,“ katanya kepada pemberita.
Terdahulu, beliau menghadiri majlis pelancaran inisiatif Sejahtera MADANI yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata jumlah keseluruhan kutipan Tabung Sejahtera MADANI hampir RM120 juta itu bukan sahaja meliputi bantuan dalam bentuk kewangan, tetapi juga dalam bentuk barangan, perkhidmatan serta latihan.
Beliau berkata inisiatif itu satu usaha baik yang dikoordinasikan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).
Sejahtera MADANI ialah inisiatif nasional bagi membantu isi rumah miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam sistem Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (Sistem eKasih).
Inisiatif itu menghimpunkan pelbagai bentuk intervensi bantuan merentas kementerian, agensi dan pihak swasta bagi membasmi kemiskinan secara berfokus serta bersepadu. – Bernama