Pengumuman PM Anwar bukti Kerajaan MADANI utamakan rakyat

KUALA LUMPUR: Pengumuman terbaharu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai bantuan kepada rakyat Malaysia membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam memprioritaskan kebajikan rakyat.

Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC) menyifatkan langkah ini sebagai bukti kepekaan kerajaan terhadap cabaran semasa.

Pengerusi BBC Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, inisiatif ini selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI yang bertujuan meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Usaha keras kerajaan dalam menarik pelaburan kini memberi manfaat langsung kepada rakyat melalui pengurangan beban kos sara hidup,“ katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen.

Antara pengumuman utama termasuk pemberian RM100 sekali gus kepada warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas melalui program Sumbangan Asas Rahmah (SARA). Selain itu, kerajaan turut memperluas program Jualan Rahmah, mengekalkan kadar tol, dan menurunkan harga petrol RON95 kepada RM1.99 berikutan subsidi bersasar.

Pengumuman ini disiarkan secara langsung melalui saluran utama seperti RTM, Bernama, dan platform media sosial termasuk Facebook Live. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *