IPOH: Kerajaan Perak sedang meneliti tindakan undang-undang ke atas mana-mana pihak yang disyaki menyebarkan maklumat salah berhubung isu anjing liar. Langkah ini diambil susulan reaksi orang ramai terhadap penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menangani masalah haiwan jalanan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching, berkata kerajaan negeri tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap penyebaran kenyataan tidak benar.
“Kita sedang mengkaji aspek undang-undang bagi tindakan seterusnya. Semua pihak perlu bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan agar tidak menimbulkan salah faham,“ katanya.
Isu ini timbul selepas dua video tular di Facebook menunjukkan puluhan anjing liar dalam sangkar di atas lori Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). Video tersebut mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk dakwaan bahawa anjing-anjing itu ditanam hidup-hidup. MBI menafikan dakwaan tersebut dan menjelaskan bahawa semua haiwan terlibat melalui proses suntik mati secara berperikemanusiaan.
Sandrea turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah melaksanakan program Perak Pawsitive bagi menangani isu haiwan jalanan.
“Lebih 300 anjing dan 250 kucing telah dimandulkan sejak program ini bermula tahun lepas. Namun, kita masih menghadapi kekangan seperti kapasiti kawasan impaun dan kesedaran pemilik yang rendah,“ jelasnya.
Menurut Pengarah Penguat Kuasa MBI, Ahmad Zaiyadi Sudin, sebanyak 740 aduan mengenai anjing liar dan 201 aduan terhadap anjing peliharaan telah diterima setakat 20 Julai.
“Aduan ini termasuk kes gigitan yang mengakibatkan kematian. Anjing yang ditangkap akan disimpan di pusat impaun selama tiga hari sebelum dibenarkan dituntut oleh orang awam,“ katanya. – Bernama