KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof memberi jaminan bahawa kebajikan rakyat akan terus terpelihara meskipun berlaku perubahan mendadak dalam bil elektrik akibat ketidakstabilan harga bahan api.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan telah menyediakan mekanisme perlindungan bagi memastikan pengguna tidak terkesan secara langsung.
Fadillah menjelaskan bahawa Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah menetapkan nilai ambang yang memerlukan kelulusan Menteri sekiranya berlaku peningkatan melebihi 10 peratus dalam caj tenaga asas.
“Ini merupakan langkah proaktif kerajaan bagi terus melindungi pengguna elektrik,“ katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai struktur baharu bil elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang bertujuan memastikan keadilan kos dan kecekapan tenaga.
Fadillah menambah bahawa Jemaah Menteri telah meluluskan pelaksanaan mekanisme Pelarasan Automatik Kos Bahan Api (AFA) bagi menggantikan ICPT, dengan pelarasan kos dilakukan setiap bulan.
Kerajaan juga menggalakkan penggunaan sistem cekap tenaga dan tenaga boleh baharu bagi mengurangkan kadar penggunaan tenaga negara.
Bagi mengurangkan impak bil elektrik, insentif cekap tenaga diberikan kepada pengguna domestik dan perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS).
“Insentif ini bertujuan menggalakkan pengguna untuk lebih bijak dalam pengurusan tenaga dan memastikan tiada kenaikan harga barangan akibat kadar tarif baharu,“ jelas Fadillah.
Selain itu, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik rendah dikecualikan daripada caj peruncitan sebagai bantuan kerajaan.
Fadillah menekankan bahawa 85 peratus pengguna domestik tidak akan terjejas dengan pelaksanaan jadual tarif baharu, selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. – Bernama