KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi menegaskan komitmennya untuk memperkukuh ekosistem dalam talian negara dengan mewujudkan persekitaran lebih selamat dan adil bagi pengkarya tempatan.
Ini bagi memastikan mereka dapat terus berkarya, berkongsi, dan berkembang tanpa ancaman seperti plagiat.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyatakan sokongan terhadap saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan penggubalan perundangan melindungi hak cipta dan ketulenan karya tempatan di platform digital.
“Langkah ini penting bagi memastikan karya tempatan tidak berdepan pelbagai bentuk ancaman, termasuk plagiat,“ katanya menerusi hantaran di Facebook.
Fahmi turut mengucapkan tahniah kepada kartunis terkenal Zunar, atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Haque, sempena pelancaran buku biografinya bertajuk “Melukis dengan Hati: Biografi Perjalanan Seni 50 Tahun”.
Buku setebal 230 muka surat itu mendokumentasikan perjalanan karier seni Zunar, bermula daripada kartun pertamanya di Majalah Bambino, Gila-Gila, Berita Harian, Harakah, dan MalaysiaKini.
Majlis pelancaran buku tersebut turut dihadiri Perdana Menteri, yang turut memberikan sokongan kepada Zunar.- Bernama