KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penurunan harga RON95 kepada RM1.99 seliter susulan pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api.
Langkah ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 18 juta pemandu kereta dan penunggang motosikal, termasuk belia seawal usia 16 tahun dan pekerja gig.
“Apabila penyasaran subsidi RON95 dilaksanakan nanti, rakyat Malaysia akan menikmati harga RON95 lebih rendah iaitu RM1.99 seliter,“ kata Anwar semasa mengumumkan Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia yang disiarkan secara langsung menerusi saluran media utama.
Beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan kerajaan kekal dengan rancangan menyasarkan subsidi petrol RON95, dengan perincian bakal diumumkan menjelang akhir September 2025. Subsidi RON95 sahaja bagi tahun 2023 dan 2024 dianggarkan menelan belanja hampir RM20 bilion setahun.
“Walaupun harga minyak dunia pada tahun ini mengalami penyusutan, harga petrol RON95 tanpa subsidi masih sekitar RM2.50 seliter, jauh lebih tinggi daripada harga bersubsidi untuk rakyat,“ jelasnya.
Anwar turut menekankan komitmen kerajaan dalam memastikan subsidi dinikmati oleh rakyat biasa sambil menangani ketirisan kepada pihak yang tidak layak. Beliau memberi contoh penstrukturan semula tarif elektrik yang berkuat kuasa mulai Julai 2025, di mana 85 peratus pengguna domestik menikmati penurunan bil elektrik sehingga 14 peratus.
“Pendekatan bersasar ini sejajar dengan ikhtiar kerajaan untuk mengoptimum sumber negara bagi manfaat rakyat dan mengurangkan pembaziran subsidi,“ katanya. – Bernama