KUALA LUMPUR: Jabatan Audit Negara (JAN) mencadangkan supaya perolehan ladang sawit di bawah Pelan Transformasi Felcra Berhad dikaji semula bagi memastikan pelaburan memberikan pulangan yang berbaloi berdasarkan kemampuan kewangan syarikat.
Cadangan itu terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini. Lembaga Pengarah Felcra Berhad disyorkan supaya memastikan perolehan ladang sawit dilaksanakan secara teratur mengikut kewajipan fidusiari dan prinsip tadbir urus yang baik.
“Sebarang perubahan kepada keputusan Lembaga Pengarah perlu direkod dan mendapat pengesahan melalui resolusi baharu yang jelas serta diminitkan secara teratur,“ menurut laporan itu.
Selain itu, Felcra juga disyorkan menetapkan garis masa minimum antara kelulusan dan pelaksanaan perjanjian bagi memberi ruang penilaian risiko yang lebih menyeluruh.
Laporan itu turut menyarankan pindaan Manual Perolehan yang berkuat kuasa September 2024 untuk memasukkan pelantikan perunding luar yang berkelayakan bagi menilai daya maju dan nilai pasaran sebelum sebarang keputusan perolehan dibuat.
“Kajian menyeluruh perlu dilaksanakan bagi menilai aspek kewangan seperti titik pulang modal, pulangan pelaburan, kos tersembunyi, dan liabiliti pajakan sebelum kelulusan muktamad,“ jelas laporan tersebut.
Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam kenyataan hari ini mendedahkan kelemahan tadbir urus dalam perolehan pajakan empat ladang sawit Felcra iaitu Estet Telupid (Sabah), Estet Dabong, Estet Sungai Raiwt 2, dan Estet Aring (Kelantan) melibatkan nilai RM241.76 juta antara 2022 hingga 2024.
Laporan penuh boleh diakses di laman web rasmi JAN. – Bernama