MULHEIM AN DER RUHR: Harapan skuad badminton negara untuk mengulangi kejayaan edisi lepas musnah selepas tewas 2-3 kepada India dalam acara berpasukan campuran Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025 di sini.
Pertandingan yang berlangsung di Westenergie Sporthalle menyaksikan beregu campuran Malaysia gagal memberi permulaan terbaik apabila tewas kepada Sathish Kumar Karunakaran-Vaishnavi Khadkekar 9-15, 15-11, 11-15.
Jacky Kok Jing Hong berjaya menyamakan kedudukan selepas mengatasi Saneeth Dayanand dalam perseorangan lelaki dengan keputusan 9-15, 15-13, 15-11. Namun, momentum itu tidak dapat diteruskan apabila Siti Zulaikha Muhammad Azmi Tan kalah kepada Devika Shag 15-5, 8-15, 15-12.
Beregu lelaki Bryan Jeremy Goonting-Muhammad Fazri Mohamad Razif sempat membawa harapan dengan kemenangan mudah 15-8, 15-6 ke atas Saneeth-Sathish Kumar.
India akhirnya mengesahkan kemenangan menerusi beregu wanita Tasnim Mir-Varshini Viswanath Sri yang bangkit menewaskan Lee Xin Jie-Low Yeen Yuan 9-15, 15-13, 15-13.
Dengan keputusan itu, India mara ke separuh akhir untuk berdepan Taiwan, manakala China akan berentap dengan Korea Selatan.
Misi Malaysia kini beralih kepada acara individu yang dijadualkan bermula 22 Julai ini. Pada edisi lepas di Chengdu, China, negara berjaya meraih dua gangsa dalam acara berpasukan campuran dan beregu lelaki- Bernama