KANGAR: Majlis Perbandaran Kangar (MPKangar) memberi jaminan bahawa semua isu berkaitan kelancaran sistem parkir pintar akan diselesaikan sepenuhnya menjelang 1 Ogos ini.
Yang Dipertua MPKangar, Affendi Rajini Kanth, menegaskan bahawa langkah penambahbaikan ini merupakan sebahagian daripada komitmen pihaknya untuk memastikan keselesaan dan kemudahan urusan harian penduduk.
“Sekiranya terdapat apa jua kekurangan dari segi kelancaran sistem, pihak syarikat telah memberi aku janji akan menyelesaikannya secepat mungkin,“ katanya selepas sesi dialog awam di Parlimen Kangar hari ini.
Affendi turut menekankan bahawa MPKangar kekal dengan dasar menyelesaikan sebarang aduan dalam tempoh 24 jam.
Sebelum ini, pada 9 Mei lalu, media melaporkan bahawa pelaksanaan sistem parkir pintar di sekitar bandar Kangar telah ditangguhkan selama enam bulan untuk penambahbaikan dari segi keselesaan dan kemudahan penggunaannya.