Nafuzi akui kelemahan pertahanan, puji semangat pemain B-23

JAKARTA: Ketua Jurulatih skuad B-23 Malaysia, Nafuzi Zain, mengakui kelemahan dalam pertahanan menjadi faktor utama kekalahan 0-2 kepada Filipina dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A Kejuaraan AFF B-23 2025 di Stadium Gelora Bung Karno.

Walaupun kecewa dengan keputusan, Nafuzi tetap memuji semangat tinggi yang ditunjukkan pemain muda yang kebanyakannya masih kurang pengalaman di peringkat antarabangsa.

“Secara keseluruhan, pertahanan kita ada sedikit kelekaan dan gugup di awal permainan, dan itu memberi ruang kepada Filipina menjaringkan gol. Kami cuba bangkit dan berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan keputusan seri, tetapi apabila ketinggalan ia menjadi lebih sukar,” katanya selepas perlawanan.

Beliau menekankan bahawa kebanyakan pemain berusia antara 19 hingga 21 tahun, dan perlawanan ini menjadi peluang berharga untuk mereka menimba pengalaman serta meningkatkan kematangan.

Mengenai status kecederaan dua pemain utama, Alif Izzuan dan Muhammad Haqimi Azim Rosli, Nafuzi berkata pasukan masih menunggu laporan terperinci daripada pihak perubatan.

Selain itu, beliau berharap lebih ramai penyokong Malaysia dapat hadir memberikan dorongan sekiranya pasukan berjaya mara ke pusingan seterusnya, terutamanya jika berdepan tuan rumah, Indonesia.

“Sokongan peminat penting. Walaupun mereka tiada di sini, saya tahu pasukan tetap mendapat sokongan daripada Malaysia. Saya mohon maaf kerana tidak dapat menghadiahkan kemenangan, namun kami akan memperbaiki persiapan untuk menentang Brunei pada Jumaat dan Indonesia nanti, yang pastinya sukar,” katanya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *