RAMALLAH (Palestin): Penasihat media Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), Adnan Abu Hasna, memberi amaran mengenai rancangan Israel untuk menubuhkan apa yang digelar “bandar kemanusiaan” di selatan Gaza. Menurut laporan Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA), beliau mendakwa inisiatif ini sebenarnya bertujuan mewujudkan kem tahanan besar-besaran.
Dalam kenyataan media, Abu Hasna menjelaskan bahawa Israel telah lama menyediakan asas bagi pelan ini dengan menubuhkan pusat agihan bantuan di selatan Gaza. “Kini, mereka secara terbuka menyatakan niat untuk memindahkan penduduk Gaza secara paksa ke kem tahanan kolektif di Rafah, sebagai langkah awal ke arah pengusiran mereka dari tanah Palestin,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa perkembangan ini menunjukkan komitmen berterusan Israel terhadap pemindahan penduduk Gaza. Abu Hasna menyatakan kebimbangan mendalam terhadap tekanan melampau yang dikenakan ke atas rakyat Palestin. “Sistem penjagaan kesihatan yang lumpuh sepenuhnya, ketiadaan bantuan dan kehabisan bahan api semuanya digunakan sebagai senjata untuk memaksa penduduk keluar secara ‘sukarela’,” katanya.
Abu Hasna menegaskan bahawa kawasan yang digelar zon kemanusiaan itu tidak mampu menampung dua juta penduduk Gaza dalam kawasan seluas hanya 60 kilometer persegi yang musnah. Beliau menyifatkannya sebagai kawasan yang tidak boleh didiami dan langsung tidak mempunyai unsur kehidupan atau masa depan.
Beliau menggesa masyarakat antarabangsa agar campur tangan segera untuk menghentikan apa yang disifatkannya sebagai percubaan berbahaya dan disengajakan untuk memindahkan rakyat Palestin atas nama bantuan kemanusiaan. – Bernama, WAFA