BERLIN: Google membatalkan rancangan untuk membina pusat datanya sendiri berhampiran Berlin, menurut kenyataan jurucakap syarikat itu. Projek yang dirancang di Mittenwalde, kira-kira 30 kilometer di selatan Berlin, tidak akan diteruskan selepas penilaian semula faktor jangka panjang.
Jurucakap Google, Bremer, menjelaskan bahawa keputusan ini dibuat selepas semakan menyeluruh terhadap kebolehlaksanaan, perkembangan pasaran, dan keutamaan perniagaan. “Kami memutuskan untuk tidak meneruskan tapak Mittenwalde,“ katanya. Namun, beliau menegaskan komitmen Google terhadap rantau Berlin-Brandenburg dan Jerman secara keseluruhan.
Sementara itu, Google terus beroperasi di pusat data pihak ketiga di kawasan Berlin. Pada 2023, syarikat itu melancarkan pusat data berskala besar di Hanau, berhampiran Frankfurt, tetapi hanya satu daripada tiga fasa pembinaan yang siap setakat ini.
Frankfurt menjadi lokasi utama untuk pusat data kerana kedudukannya yang strategik berhampiran DE-CIX, salah satu pusat pertukaran internet terbesar di dunia. Kelebihan ini membolehkan pemindahan data besar-besaran dengan kelajuan tinggi.
Google juga memiliki dua lagi tapak di kawasan Rhine-Main untuk pembangunan pusat data pada masa depan.
Perkembangan ini berlaku serentak dengan pengumuman Oracle, pesaing Google, yang merancang pelaburan AS$2 bilion di Jerman dalam tempoh lima tahun bagi memenuhi permintaan meningkat terhadap teknologi AI dan infrastruktur awan. – Bernama, dpa