Operasi mencari mangsa feri karam di Indonesia dilanjut hingga 14 Julai

BANYUWANGI: Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (Basarnas) melanjutkan operasi pencarian mangsa feri Tunu Pratama Jaya yang karam pada 2 Julai lalu.

Operasi kali kedua ini akan berlangsung sehingga Isnin, 14 Julai, atas alasan kemanusiaan.

Timbalan Ketua Operasi dan Kesiapsiagaan Basarnas, Ribut Eko Suyanto, menyatakan bahawa pihaknya akan menilai semula situasi selepas tarikh tersebut untuk menentukan sama ada pencarian perlu diteruskan.

Pada operasi Jumaat lalu, dua lagi mayat ditemui di perairan selatan Pulau Bali, berhampiran lokasi kejadian. Mayat tersebut dibawa ke Hospital Umum Daerah Blambangan di Banyuwangi, Jawa Timur, untuk proses pengecaman dan pengesahan identiti.

Sehingga petang Jumaat, jumlah korban yang ditemui meningkat kepada 17 orang, manakala 30 penumpang disahkan terselamat. Seramai 18 individu masih hilang.

Menurut penyelaras tempatan pasukan SAR, Wahyu Setia Budi, feri itu membawa 53 penumpang, 12 kru, dan 22 kenderaan ketika berlepas dari Pelabuhan Ketapang, Banyuwangi pada 2 Julai 2025, sekitar pukul 10.56 malam waktu tempatan. Feri tersebut karam dalam perjalanan ke Pelabuhan Gilimanuk di Bali kira-kira 11.35 malam pada hari yang sama.

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, mengarahkan semua agensi kerajaan untuk terus berusaha menyelamatkan baki penumpang dan kru yang masih hilang. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *