Mahkamah sekat sementara tindakan keras Trump terhadap pendatang di California

LOS ANGELES: Seorang hakim persekutuan di California telah mengeluarkan arahan sementara untuk menyekat dasar kerajaan Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Donald Trump yang bertujuan menguatkuasakan tindakan tegas terhadap pendatang tanpa izin di selatan negeri itu.

Keputusan itu dikeluarkan oleh Hakim Daerah AS, Maame Ewusi-Mensah Frimpong, pada Jumaat lalu.

Menurut arahan tersebut, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) dilarang menahan pendatang tanpa bukti kukuh atau “syak wasangka munasabah” terhadap sebarang kesalahan.

Hakim turut menegaskan bahawa faktor seperti etnik, bahasa, atau pekerjaan tidak boleh dijadikan alasan untuk penahanan.

“Pegawai penguat kuasa tidak dibenarkan menggunakan kriteria diskriminasi seperti rupa bentuk kaum atau loghat pertuturan sebagai asas operasi,“ jelas Frimpong dalam keputusannya.

Selain itu, mahkamah turut mengarahkan DHS menyediakan garis panduan jelas untuk membantu pegawai menentukan syak wasangka yang sah.

Mereka yang ditahan juga mesti diberi akses kepada bantuan guaman.

Keputusan ini hanya terpakai di wilayah Los Angeles dan kawasan sekitarnya. Kes ini dibawa oleh Kesatuan Kebebasan Sivil Amerika (ACLU) mewakili individu yang mendakwa ditahan secara tidak adil. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *