KUALA TERENGGANU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa lawatannya ke Brazil baru-baru ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak BRICS bukanlah sekadar untuk “bersiar-siar” seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Sebaliknya, lawatan itu merupakan langkah strategik bagi mengukuhkan kerjasama ekonomi global demi kepentingan Malaysia.
Beliau berkata setiap lawatan rasmi yang dilakukan adalah bertujuan untuk membawa pulangan ekonomi yang nyata kepada negara. “Kita bukan pergi hanya untuk bersiar-siar. Dalam mesyuarat dan perjumpaan, kita guna peluang dan ruang untuk menemui pemimpin dan pihak berkepentingan bagi memperkukuh hubungan dan kerjasama,“ jelas Anwar semasa berucap di Majlis Penutup Program MADANI Rakyat 2025 Terengganu.
Anwar turut menekankan manfaat besar yang diperoleh Malaysia melalui kerjasama strategik dengan Brazil, termasuk akses diberikan kepada Petronas untuk mengendalikan pelantar minyak terbesar di negara Amerika Selatan itu.
Mengenai kehadirannya dalam pelbagai mesyuarat dan rundingan ASEAN, beliau menafikan ia sekadar simbolik. Sebaliknya, usaha itu telah membuahkan hasil konkrit, termasuk menjadikan Terengkanu sebagai pusat tenaga baru hidrogen hijau. Projek di Tasik Kenyir itu disifatkan sebagai sangat signifikan kerana selari dengan agenda Grid Tenaga ASEAN yang bakal menghubungkan bekalan elektrik rentas sempadan dari Vietnam ke Malaysia dan Singapura.
“Penghasilan tenaga ini hanya boleh dilakukan dengan kerjasama ASEAN, Kerajaan Persekutuan, dan kerajaan negeri. Ini akan memberi peluang kepada Malaysia muncul sebagai negara yang mampu menjana kuasa tenaga besar di rantau ini,“ ujar Anwar.
Beliau turut menyentuh tentang ledakan pusat teknologi kecerdasan buatan (AI) yang memerlukan kapasiti tenaga dan air lebih besar berbanding industri konvensional. Justeru, Malaysia perlu memainkan peranan penting dalam projek Grid Tenaga ASEAN.
Anwar turut berbangga dengan kedudukan Malaysia yang semakin dihormati di peringkat antarabangsa. Kehadiran kuasa besar seperti Jepun, Amerika Syarikat, Rusia, dan Turkiye dalam mesyuarat ASEAN baru-baru ini membuktikan keyakinan terhadap kestabilan dan potensi ekonomi negara.
“Buat pertama kali, negara seperti Afrika Selatan, Brazil, dan Itali turut hadir. Ini kerana mereka melihat Malaysia sebagai negara aman, bersatu, dan berpotensi besar untuk kerjasama perdagangan,“ katanya. – Bernama