KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pentingnya ASEAN terus bersatu dan berdaya tahan dalam menghadapi ketidakstabilan global yang semakin meningkat. Beliau menyeru negara anggota memperkukuh Kepusatan ASEAN dan menjadikannya sebagai panduan utama.
Dalam ucapan perasmian Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan, Anwar menekankan peranan ASEAN sebagai tonggak utama rantau ini bagi dialog dan kerjasama. “Kepusatan ASEAN harus menjadi pedoman utama kita seperti yang dilihat melalui usaha berterusan dalam memperkukuh dan memperbaharui institusi-institusi yang diterajui ASEAN,“ katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa ASEAN perlu terus menawarkan nilai kepada rakan dialog. “Kita mesti kekal sebagai tonggak utama bagi dialog serantau sebagaimana Rakan Dialog kita harus terus dapat melihat nilai untuk menjalin hubungan dengan kita,“ ujarnya. -Bernama