KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Razarudin Husain di atas jasa, khidmat bakti dan kepimpinan beliau sepanjang menerajui Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata perkara itu disampaikan beliau ketika menerima kunjungan hormat perpisahan daripada Razarudin pagi tadi.
“Saya mendoakan agar Tan Sri Razarudin terus dikurniakan kesihatan yang baik, serta kekuatan untuk terus menyumbang kepada negara dalam apa jua kapasiti.
“Terima kasih atas khidmat bakti yang amat bermakna kepada rakyat dan negara,” kata beliau.
Razarudin yang menyertai PDRM pada 1982, dilantik sebagai KPN ke-14 selama dua tahun secara kontrak selepas bersara, berkuat kuasa 23 Jun 2023 dan akan menamatkan perkhidmatannya Ahad ini.
Sepanjang perkhidmatan, Razarudin telah menjawat beberapa jawatan penting antaranya Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang pada 2016, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah (2016), Timbalan Ketua Polis Perak (2018), Ketua Polis Perak (2019), Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman (2020) dan Timbalan Ketua Polis Negara (2021).
Terdahulu, Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilantik sebagai KPN ke-15 bagi menggantikan Razarudin berkuat kuasa hari ini.