Polis Johor aktifkan ‘omnipresence’ seiring sambutan Tahun Melawat Johor

JOHOR BAHRU: Polis Johor mengaktifkan pemantauan omnipresence di tujuh lokasi tumpuan pengunjung sekitar daerah ini bermula 14 Jun lepas dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan seiring dengan sambutan Tahun Melawat Johor pada tahun depan.

Ketua Polis Johor CP Datuk M Kumar berkata kaedah pemantauan oleh anggota di lokasi tumpuan itu dapat memastikan tahap kecekapan berada pada tahap yang baik sekali gus membantu mengurangkan kadar jenayah serta memperkukuh persepsi orang ramai terhadap keamanan serta keselamatan mereka.

Beliau berkata seramai 80 anggota terlibat dalam penugasan itu di sekitar Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Bazar Karat, pusat beli-belah KSL, Berjaya Waterfront Hotel, Mid Valley Southkey, Sentosa dan Angsana Johor Bahru Mall.

“Penugasan anggota ke kawasan itu adalah mengikut waktu puncak, ini meliputi lawatan ke kedai dan anggota akan turut berjumpa peniaga serta pengunjung sekali gus memperkukuh situasi Johor selamat didiami,’’ katanya kepada pemberita pada Perhimpunan Bulanan Peringkat Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Kumar berkata omnipresence mendapat sambutan serta reaksi positif daripada masyarakat, dan merancang untuk terus melaksanakannya sebagai kaedah pemantauan harian.

“Kita akan teruskan program ini dan penugasannya dibuat mengikut masa tertentu. Minggu ini kita akan melihat keberkesanan pemantauan,’’ katanya.

Ketika ditanya mengenai perkembangan siasatan video disunting menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) melibatkannya diri beliau, Kumar berkata setakat ini tiada suspek dikenal pasti, namun siasatan masih dijalankan.

Beliau berkata polis turut bekerjasama dan mendapatkan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Saya ingin mengambil kesempatan menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap penyamaran digital yang kini semakin canggih,’’ katanya.

Kumar dalam kenyataan sebelum ini menafikan sebuah video tular di platform TikTok yang memaparkan individu didakwa menyerupai beliau menerima bantuan daripada seorang bergelar “Datuk”.

Beliau dipetik sebagai berkata video itu tidak benar dan telah dimanipulasi menggunakan teknologi AI.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *