Nahas bas Gerik: Identiti enam pelajar UPSI yang maut dikenal pasti

IPOH: Identiti enam daripada 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut setelah terlibat dalam kemalangan ngeri di KM53 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) dekat Gerik awal pagi tadi telah dikenal pasti setakat 5.30 petang.

Bahagian Komunikasi Korporat UPSI dalam kenyataan memaklumkan mereka ialah Sufea Adela Maslihaizan, 21, (yang beralamat di Kampung Air Terjun, Jertih), Mohammad Aqil Taqiudin, 21, (Kampung Gong Bayor, Besut), Anis Soffiyya Md Zaidi, 20, (Kampung Rahmat, Chalok, Setiu) dan Nur Ainul Qistina Mat Ali, 21, (Lorong Tapah, Kampung Anak Ikan, Jertih).

Jenazah mereka selesai dibedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

Dua lagi jenazah yang dibedah siasat di Hospital Gerik pula ialah Muhammad Adib Hazim Halim, 21, yang beralamat di Tanah Perkuburan Kampung Pasir Badak, Jertih dan Wan Nur Suhaila Wan Muhammad, 22, dari Jalan Gong Maksom, Kampung Amir, Besut.

Terdahulu, Pengarah Kesihatan Perak Dr Feisul Idzwan Mustapha memaklumkan proses bedah siasat 13 jenazah pelajar UPSI itu dijangka siap pada 12 tengah malam ini.

Pagi tadi, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Hulu Perak dalam kenyataan memaklumkan sekurang-kurangnya 15 maut dalam nahas membabitkan sebuah bas yang membawa pelajar UPSI dan sebuah kenderaan pelbagai guna di JRTB berhampiran Tasik Banding di Gerik.

PKOD APM Hulu Perak memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu daripada Hospital Gerik pada 1.10 pagi.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *