Mesej tidak dibalas, rakan tidak sangka kehilangan dua sahabat

IPOH: Hasrat seorang mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk mendapatkan kepastian tentang perjalanan dua rakannya berakhir dengan berita duka apabila kedua-duanya disahkan terkorban dalam nahas tragis membabitkan bas sewa khas awal pagi tadi.

Mohamad Alif Nasnawi, 21, berkata beliau tidak menyangka mesej yang dihantar kepada Nur Ayuni Maslan dan Muhammad Adib Hazim Halim, kedua-duanya berusia 21 tahun malam tadi tidak akan pernah berbalas.

Kedua-dua rakannya itu merupakan antara 15 mahasiswa UPSI yang maut dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), ketika dalam perjalanan pulang ke kampus dari Pantai Timur.

“Malam tadi saya mesej mereka, tanya di mana tapi mesej saya tak berbalas. Saya tahu mereka menaiki bas dan pagi ini baru saya dapat tahu mereka terlibat dalam kemalangan itu,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Beliau yang berasal dari Perak berkata sudah menjadi kebiasaan kepada penuntut UPSI dari Pantai Timur untuk menggunakan perkhidmatan bas sewa khas setiap kali kembali ke universiti selepas cuti semester.

Mohamad Alif berkata kali terakhir beliau berhubung dengan Muhammad Adib adalah ketika rakannya itu menyatakan hasrat untuk menempah baju buat ‘batch’ mereka.

“Arwah seorang yang sangat baik, pendiam dan tidak banyak cakap. Pemergiannya sangat dirasai.

“Saya amat sedih dengan apa yang berlaku dan berasa kehilangan yang besar. Mereka bukan sekadar rakan, tapi sudah seperti keluarga,” katanya sebak.

Dalam kejadian yang berlaku antara 12.30 hingga 1 pagi itu, 15 mahasiswa UPSI maut selepas bas dari Jerteh, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak itu terbalik dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di JRTB berhampiran Tasik Banding, Perak.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *